NUN : Nota Ceramah Perdana


Nadwah Ulama Nusantara VIII.
The 8th Symposium Of Ulama In Malay Archipelago.
“Sinergi Ulama Dalam Pemerkasaan Ummah”

Tarikh: 14 – 16 Safar 1440 Hijrah.
23 – 25 Oktober 2018 Masihi.
Lokasi: Dewan Kompleks Islam Sarawak, Kuching & Hotel Riverside Majectic, Kuching, Sarawak.


Ceramah Perdana.
Penceramah: YBhg.Ustaz Dato’ Dr.Haji Mohd Izhar Ariff Bin Mohd Kashim.
Tarikh: 14 Safar 1440 Hijrah.
                23 Oktober 2018 Masihi.

Nota:
Musuh-musuh islam sentiasa berusaha mengambil peluang bagi melemahkan dan menjatuhkan islam. Dua cara musuh-musuh islam melemahkan islam ialah:-


  • Jangan biar umat islam faham isi yang terkandung di dalam Al-Quran. Umat islam dipengaruhi mereka supaya menafsirkan ayat-ayat Al-Quran mengikut hawa nafsu dan pendapat sendiri bagi ‘menghalalkan’ segala perbuatan yang mereka ingin lakukan. Contohnya seperti ayat Al-Quran; 


﴿لَآ إِكۡرَاهَ فِي ٱلدِّينِۖ قَد تَّبَيَّنَ ٱلرُّشۡدُ مِنَ ٱلۡغَيِّۚ فَمَن يَكۡفُرۡ بِٱلطَّٰغُوتِ وَيُؤۡمِنۢ بِٱللَّهِ فَقَدِ ٱسۡتَمۡسَكَ بِٱلۡعُرۡوَةِ ٱلۡوُثۡقَىٰ لَا ٱنفِصَامَ لَهَاۗ وَٱللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ  [ البقرة:256]
Tidak ada paksaan dalam ugama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali ugama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
[Al Baqarah:256].

Golongan-golongan liberal sering menggunakan dalil di atas bagi berlepas tangan dalam hal-hal berkaitan ibadah-ibadah fardu dan syariat islam dengan alasan kononnya islam itu sendiri tidak memaksa mereka dalam mengerjakan kewajipan yang telah ditetapkan ke atas diri mereka. Mereka juga mendakwa bahawa Allah sendiri telah nyatakan di dalam Al-Quran mengenai kebebasan mereka dalam beramal. Oleh sebab itu mereka beranggapan bahawa amal ibadah dan syariat itu adalah bersifat peribadi. Dosa dan pahala itu juga dianggap perkara peribadi. Lalu apa sahaja yang ingin dilakukan mereka, dilakukan sesuka hati.

Hal ini sangat bertentangan dengan tafsiran sebenar yang disepakati oleh para ulama mengenai Surah Al-Baqarah ayat 256. Ayat ini sebenarnya menunjukkan larangan kepada umat islam dalam memaksa orang bukan islam menganuti agama islam. Hal ini selari dengan dalil; 

قُلۡ يَٰٓأَيُّهَا ٱلۡكَٰفِرُونَ  ١ لَآ أَعۡبُدُ مَا تَعۡبُدُونَ  ٢ وَلَآ أَنتُمۡ عَٰبِدُونَ مَآ أَعۡبُدُ  ٣ وَلَآ أَنَا۠ عَابِدٞ مَّا عَبَدتُّمۡ  ٤ وَلَآ أَنتُمۡ عَٰبِدُونَ مَآ أَعۡبُدُ  ٥ لَكُمۡ دِينُكُمۡ وَلِيَ دِينِ  ٦ [ الـكافرون:1-6]
1.  Katakanlah (wahai Muhammad): "Hai orang-orang kafir!
2.  "Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah.
3.  "Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah.
4.  "Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat.
5.  "Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat.
6.  "Bagi kamu ugama kamu, dan bagiku ugamaku".
[Al Kafirun:1-6]


  • Jangan biar umat islam mengenali sejarah-sejarah mereka. Sejarah-sejarah islam banyak menceritakan tentang kepimpinan dan kehebatan umat islam terdahulu kerana patuh dan taat kepada ajaran islam. Para sahabat dahulu yang sentiasa berkorban harta, jiwa, masa, tenaga dan kepakaran mereka demi meninggikan agama Allah ini. Juga tabiin, tabi’ tabiin, khalifah islam, para pemimpin dan pemerintah islam, tokoh-tokoh ilmuwan islam, para imam dan wali-wali Allah. Kisah-kisah mereka mengandungi banyak pengajaran dan iktibar jika diselusuri dan dipelajari.
Seterusnya, manusia pada kebiasaannya sentiasa sombong apabila mendapat nikmat. Tiga perkara yang boleh menyebabkan manusia menjadi sombong iaitu;
  • Manusia menjadi sombong kerana harta. Contoh yang sangat jelas dapat dilihat dari kisah Qarun yang hidup di zaman Nabi Musa Kalamullah. Dia akhirnya di telan bumi kerana sombong dengan harta kekayaannya.
  • Manusia menjadi sombong kerana pangkat. Misalnya Firaun yang merupakan seorang raja yang gah di zamannya. Kekuasaanya yang sangat luas dan ramai pengikutnya. Dia akhirnya mati ditelan Laut Merah kerana kesombongannya terhadap Allah Subahanahu Wa Taala. 
  • Manusia menjadi sombong apabila lupa akan kematian. Apabila seorang muslim sentiasa mengingati mati, dia akan cepat bertaubat, mendapat semangat dalam beribadah dan akan reda dengan setiap yang telah ditentukan oleh Allah.
Manusia adalah tidak layak dan tidak berhak untuk berasa sombong dan angkuh. Sekali manusia itu berasa sombong di dunia, maka berkali-kali Allah akan sombong dengannya dengan tidak melihat wajahnya di akhirat kelak.

Tiga perkara yang perlu ditekankan dalam diri setiap individu muslim agar islam terus kuat ialah;
  • Hindari sifat sombong kerana jelas sifat ini membutakan manusia daripada hakikat hidup seorang hamba.
  • Sentiasa hidup bermasyarakat kerana islam itu kuat dengan Jemaah.
  • Mengingati kematian agar diri tidak lupa untuk bermuhasabah sepanjang masa.

-23/10/2018-
~ini nota~

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Bacaan Naqal dalam Al-Quran (Biksalismu)

Peta i-Think dalam Bahasa Arab

Cara Bacaan Huruf Hamzah dalam Al-Quran (Hamzah Wasal dan Hamzah Qata’)