NUN : Sejarah Perkembangan Islam Di Sarawak


Nadwah Ulama Nusantara VIII.
The 8th Symposium Of Ulama In Malay Archipelago.
“Sinergi Ulama Dalam Pemerkasaan Ummah”

Tarikh: 14 – 16 Safar 1440 Hijrah.
23 – 25 Oktober 2018 Masihi.
Lokasi: Dewan Kompleks Islam Sarawak, Kuching & Hotel Riverside Majectic, Kuching, Sarawak.


Sejarah Kedatangan  Dan Perkembangan Islam Di Sarawak


                Sejarah kedatangan islam merupakan fenomena yang penting dalam sejarah peradaban di Sarawak khasnya dan Kepulauan Melayu amnya. Namun, masih banyak yang belum diketahui dengan jelas dan tepat tentang Tarikh sebenar pertapakan Islam di Sarawak. Berikut merupakan kronologi kedatangan dan perkembangan Islam di Sarawak bermula dari abad ke-14 sehingga zaman penjajahan British.


                Pada abad ke-14, Sarawak dahulunya merupakan sebahagian daripada wilayah Brunei sebelum kedatangan penjajah Eropah di kepulauan Borneo. Justeru, kemasukan Islam secara rasmi ke Brunei mahupun wilayah jajahannya adalah apabila pemerintahnya iaitu Awang Alak Betatar telah memeluk Islam pada tahun 1368 yang kemudiannya diberi nama Sultan Muhamad Shah oleh kerajaan Johor. Pengislaman baginda turut diikuti oleh rakyat baginda. Semasa pemerintahan Awang Alak Betatar, Brunei memiliki 5 buah pusat perdagangan di Sarawak iaitu Kalaka, Saribas, Samarahan, Sadong dan Sarawak (Kuching) yang sering menghantar ufti kepada baginda.


                Pada abad ke-15, perkembangan Islam semakin berkembang apabila sultan-sultan Brunei seperti Paduka Seri Sultan Muhammad, saudaranya Sultan Ahmad dan Sultan Ali Bilfalih telah melaksanakan syariat-syariat Islam di jajahan takluknya termasuklah Sarawak. Tulisan pada Batu Tarsilah Brunei adalah bukti penyebaran agama Islam di Brunei dengan menyebut bahawa sultan-sultan Brunei telah melaksanakan syariat Nabi Muhammad (S.A.W). Justeru, hubungan istimewa yang terjalin antara Brunei dan Sarawak ini telah mencetuskan detik awal bermulanya kemasukan Islam secara besar-besaran ke Sarawak pada tahun 1476 melalui pusat-pusat perdagangan di Sarawak. Pada abad ini juga, peranan yang dimainkan oleh Datu Andi (Raja Jarom) dan Datu Merpati dalam pengislaman penduduk-penduduk di Sarawak tidak kurang pentingnya.


                Pada abad ke-16, Brunei telah dijadikan sebagai sebuah Kerajaan Melayu Islam yang mantap dan terkenal di alam Melayu iaitu dalam pemerintahan Sultan Bolkiah I (1516-1521). Pada tahun 1521, baginda telah mengeluarkan perintah agar Islam disebarkan secara aktif ke seluruh wilayah Brunei dan Sarawak yang dikenali sebagai Gerakan Dakwah Islamiah. Antara kawasan yang pernah berada di bawah penguasaan Kesultanan Brunei pada ketika itu ialah wilayah Kalaka, Saribas, Sagong dan Samarahan termasuk Mukah, Oya, Matu dan Baram. Kesan besar usaha dakwah Kerajaan Brunei terhadap wilayah Sarawak pada hari ini ialah kejayaannya mengislamkan suku-suku bumiputera Sarawak khususnya orang Melanau yang terdapat di Kawasan pesisir Sarawak iaitu di bahagian ketiga, kelima, keenam dan ketujuh. Pada abad ini juga ramai saudagar beragama Islam telah datang ke Sarawak melalui pelabuhan-pelabuhan yang telah diwujudkan lalu mengislamkan ramai penduduk Sarawak termasuk melalui perkahwinan campur di antara saudagar Islam dengan penduduk tempatan sehingga abad-abad seterusnya.


                Pada abad ke-17, pemerintahan Sultan Pengiran Tengah menjadi Sultan Sarawak Daru Hana pada lewat kurun ke-16 (1566) hingga awal kurun ke-17 turut menjadi faktor pertapakan Islam di Sarawak menjadi semakin mantap dan kukuh. Baginda adalah Sultan yang pertama dan terakhir memerintah Sarawak. Pada masa tersebut, Santubung adalah ibu negeri pertama Sarawak pada lewat abad ke-16. Maka dengan perlantikan Sultan yang beragama Islam di Sarawak pada masa itu memberi pengaruh yang besar kepada perkembangan Islam selanjutnya di negeri ini. Perkembangan Islam telah bersemarak di beberapa kawasan lain apabila baginda menghantar pemimpin-pemimpin Islam seperti Datu Patinggi Seri Setia, Datu Shahbandar Indera Wangsa, Datu Amar Seri Diraja dan Datu Temenggung Laila Wangsa untuk mentadbir jajahan-jajahannya.


                Pada abad ke-18, Sebahagian Syarif yang dilantik sebagai pentadbir daerah seperti di Lingga (Syarif Jafar), Kalaka (Syarif Maulana), Sadong (Syarif Sahabudin dan Syarif Sahib) dan Sarikei (Syarif Masahor) berperanan menyebar Islam di Kawasan masing-masing. Walaupun tidak ada bukti yang mutlak namun bolehlah dipercayai bahawa Syarif-Syarif ini telah Berjaya mengislamkan kesemua orang Melayu dan sebilangan penting puak-puak Dayak sebelum abad ke-19.


                Menjelang abad ke-19, Islam telah bertapak dengan kuatnya di Sarawak. Namun perluasan pengaruh Islam terencat apabila Sarawak dijajah oleh Keluarga Brooke dari tahun 1841 hingga 1941. Perluasan kuasa oleh keluarga Brooke dari tahun 1841 hingga 1941. Perluasan kuasa oleh keluarga Brooke bermula dengan Kuching (1841), Kuala Samarahan (1846), Sadong, Lingga, Skrang, Saribas dan Simanggang (1883), Lawas (1885) dan Limbang (1890). Sewaktu pemerintahan Brooke, jawatan dan gelaran para pembesar Melayu seperti Datu Patinggi, Datu Bandar, Datu Temenggong, Datu Hakim dan Datu Imam diwujudkan semula oleh keluarga Brooke bagi memenangi hati umat Islam namun fungsi dan gelaran tersebut dikawal dan dihadkan oleh Brooke. Brooke bukan sekadar menguasai pemerintahan, namun beliau juga mencampuri urusan perundangan dan agama umat Islam. Brooke telah menubuhkan Native Mohammaden Probate dan Divorce Court bagi menyelesaikan masalah perkahwinan, penceraian dan kematian untuk umat Islam Sarawak. Selepas 6 tahun Brooke diisytiharkan sebagai “Rajah” di Sarawak, gerakan pengkristianan melalui sekolah-sekolah mission dan paderi-paderi Kristian terus berjalan dalam kelangan rakyat Bumiputera. Usaha pengkristianan ini bukan sahaja ditumpukan dengan hebatnya terhadap kaum Bumiputera yang lain malahan sudah mula ditujukan kepada orang melayu yang beragama islam, namun akidah orang melayu dan masyarakat islam pada masa tersebut tetap utuh.


                Pada abad ke-20, gerakan pengkristianan melalui sekolah-sekolah mission dan paderi-paderi Kristian terus berjalan dalam kalangan rakyat bumiputera selain orang Melayu. Usaha ini tergencat sedikit pada zaman pendudukan jepun dan kemudian diteruskan secara lebih intensif oleh pihak colonial british ketika orang melayu sudah kehilangan pengaruh dalam pemerintahan. Pada tahun 1915, Brooke telah memperkenalkan undang-undang bertulis untuk mentadbir orang islam Sarawak yang dinamakan sebagai Undang-Undang Mahkamah Melayu Sarawak (UMMS). Ia mengutamakan perkara-perkara seperti pertunangan, perkahwinan, penceraian dan salah laku seksual dalam kalangan orang Melayu. Hasil daripada tekanan-tekanan pada zaman pemerintahan Brooke, maka telah wujud sebuah institusi pengajaran islam formal yang diberi nama Al-Madrasah Al-Mursyidiyah pada tahun 1917 dan sambutan daripada masyarakat islam terhadap  madrasah ini sangat menggalakkan dan telah Berjaya melahirkan ramai tokoh dan ulama di Sarawak.dari tahun 1932-1956, UMMS telah dipinda untuk meluaskan peranan bagi bergerak kea rah penerimaan Islam secara meluas sehingga wujudnya jawatan Mufti pada tahun 1941. Sewaktu pemerintahan British pada tahun 1945 Agma Islam tidak mengalami perkembangan seperti yang diharapkan. Hanya pada tahun 1954, Majlis Islam dan Adat Istiadat Melayu Sarawak dibawah Majlis Islam In-Corporation Ordinance telah ditubuhkan. Namun majlis ini masih juga tidak mendapat peruntukan daripada pihak British selain mempunyai tenaga kerja dan sumber kewangan yang sangat sedikit.


                Kesimpulannya, perkembangan islam di Sarawak secara tidak langsung telah bermula semenjak pengislaman pemerintah Brunei iaitu Awang Alak Betatar. Perkembangan Islam di Sarawak semakin bersemarak semenjak berabad-abad lamanya hasil peranan yang dimainkan oleh Sultan-Sultan Brunei, Sharif-Sharif atau pembesar-pembesar Brunei, selain peranan yang dimainkan oleh Datu Andi, Datu Merpati dan saudagar-saudagar Islam dalam mengislamkan ramai penduduk di Sarawak. Akhirnya, perkembangan yang rancak ini telah tergendala apabila kedatangan Brooke dan British yang turut membawa ajaran Kristian ke Sarawak. Walaupun mendapat tekanan, terdapat beberapa institusi yang telah diwujudkan bagi menjaga kepentingan Islam di Sarawak. Ia menjadi asas dalam menyebar dan menyemarakkan lagi Islam di Sarawak selepas Sarawak mencapai kemerdekaan sehingga kini.



~ NUN ~

Ulasan

  1. Assalamualaikum,boleh saya dapatkan/saudara kongsikan kertas kerja NUN 2018 ke?

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Bacaan Naqal dalam Al-Quran (Biksalismu)

Peta i-Think dalam Bahasa Arab

Bacaan Tashil dalam Al-Quran